Buletin Semasa

MAYAT DI SERET 5 KM

RANTAU PANJANG: Seorang murid tahun empat bukan saja maut selepas dirempuh sebuah kereta betul-betul di depan rumahnya di Kampung Gual Tinggi, dekat sini, malah mayatnya turut diseret kenderaan terbabit sejauh kira-kira lima kilometer, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam, mangsa, Mohd Hanafis Suhairi, 10, bersama adiknya, Mohd Hafizi, 7, membonceng motosikal ditunggangi sepupu mereka, Ridzuan Razali, 19, sebelum motosikal itu dirempuh sebuah kereta dari belakang di depan rumah.

Difahamkan, akibat rempuhan itu, mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi di sini, tersangkut pada bahagian depan kereta terbabit lalu diseret sejauh kira-kira lima kilometer sebelum pemandunya memberhentikan kereta apabila menyedari ada objek di depan kenderaan dipandunya.

Bagaimanapun, penunggang motosikal itu, Ridzuan, hanya patah tulang bahu dan dirawat di Hospital Pasir Mas (HPM) manakala Mohd Hafizi yang cedera di dagu terpaksa menerima tiga jahitan selain luka kaki akibat terpelanting dan menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

Ibu mangsa, Yusnida Harun, 30, berkata sebelum kejadian, anak sulung daripada tiga beradik itu memang menunjukkan perubahan sikap agak ketara dan kelihatan begitu gembira walaupun baru sembuh daripada demam panas selain menghidap gastrik.

“Sikapnya begitu berlainan selain kelihatan gembira, dia sanggup berkongsi nasi air (bubur) yang menjadi kegemarannya bersama adiknya.

“Dia sebenarnya baru sembuh daripada demam dan meminta saya menyediakan nasi air untuknya.

“Malah, sebelum tragedi ngeri itu, dia juga berkelakuan agak ganjil apabila memberitahu mahu tidur bersama saya buat kali terakhir walaupun sebelum itu, dia dan Mohd Hafizi tidur bersama di bilik berasingan,” katanya ketika ditemui di HPM, semalam.

Menurutnya, dia begitu sedih kerana kejadian itu berlaku di depan rumahnya ketika motosikal ditumpanginya mahu membelok masuk ke lorong menuju rumah.

“Sebelum itu, dia ke kedai runcit berhampiran membeli barangan keperluan rumah dan tidak menyangka Mohd Hanafis meninggal dunia dalam keadaan begitu menyayat hati,” katanya.

Bapa mangsa, Suhairi Yusof, 34, berkata dia menyedari kejadian itu sebaik terdengar satu dentuman kuat di depan rumahnya yang dijadikan bengkel membaiki kereta.

Menurutnya, ketika itu, hatinya tiba-tiba berdebar seolah-olah mengetahui kejadian itu membabitkan anaknya, namun sebaik bergegas ke tempat kejadian, dia hanya melihat dua mangsa manakala seorang lagi anaknya tiada di situ.

“Saya memang berdebar sebaik mendapat tahu kereta yang merempuh motosikal dinaiki dua anak saya bersama sepupu mereka sudah melarikan diri.

“Tidak lama selepas itu, saya terkejut apabila diberitahu Mohd Hanafis diseret kereta yang merempuhnya sejauh kira-kira lima kilometer,” katanya.

Katanya, walaupun reda dengan takdir yang berlaku, dia sedih terutama apabila mengenangkan mangsa yang begitu cerdas serta begitu menyayangi dua adiknya.

Jenazah mangsa dikebumikan di tanah perkuburan Islam Rantau Panjang, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku apabila motosikal dinaiki tiga mangsa itu dirempuh sebuah kereta dari belakang di Kampung Gual Tinggi, kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Beliau berkata, ketika kejadian, motosikal dinaiki semua mangsa membelok masuk ke lorong rumah mereka sebelum dirempuh sebuah Proton Wira Aeroback yang sebelum itu cuba memotong sebuah teksi di hadapan.

Bagaimanapun, menurutnya, ketika cuba memotong teksi itu, pemandu terbabit tidak menyedari ada sebuah motosikal di depan dan tidak sempat mengelak lalu terus merempuhnya.

“Siasatan awal mendapati dua mangsa terpelanting di sekitar tempat kejadian manakala mangsa yang maut di tempat kejadian dipercayai diseret kereta itu sejauh lima kilometer,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta berusia 34 tahun itu ditahan sebelum dibebaskan selepas keterangannya diambil bagi membantu siasatan.

Abd. Halim Mohd. Adenan (kanan) menunjukkan pil kuda dan wang tunai yang dirampas oleh polis dalam dua serbuan di Kampung To’ Deh dan Kampung Banggol Kulim Rantau Panjang, kelmarin.
– Gambar ROSNI MASRI

Harta pengedar dadah disita

PASIR MAS 30 Okt. – Polis menahan tiga orang termasuk pasangan suami isteri kerana disyaki mengedar dadah dan harta milik mereka bernilai lebih RM52,000 disita dalam dua serbuan berasingan dekat sini, baru-baru ini.

Pasangan suami isteri berusia 22 hingga 32 tahun itu ditahan di rumah mereka di Kampung Banggol Kulim pada pukul 11.15 pagi, 27 Oktober lalu turut ditemui ialah 1,110 pil kuda dianggarkan bernilai RM9,500.

Seorang lagi lelaki berusia 31 tahun ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion ke 9 di Kampung To’Deh pada pukul 11 malam, pada hari yang sama.

Hasilnya, sebanyak 589 pil kuda bernilai RM7,400 bersama dompet, buku akaun, satu peralatan menghisap dadah dan pelbagai dokumen milik suspek dirampas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Deputi Supritendan Abd. Halim Mohd. Adenan berkata, di rumah pasangan suami isteri itu turut ditemui wang tunai sebanyak RM10,700, empat bentuk cincin emas dan rantai leher serta loket yang bernilai RM3,400.

Menurutnya, dua buah kereta dianggarkan bernilai RM35,000 serta sebuah motosikal berharga RM3,000 turut disita.

“Kita juga merampas dua telefon bimbit, masing-masing dua buku akaun dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dipercayai milik pasangan terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini kelmarin.

Menurutnya, siasatan mendapati pasangan terbabit menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini dan pil kuda yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek itu kini dikenakan tahanan reman sehingga 3 November ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Katanya, semua harta benda milik pasangan terbabit juga disiasat mengikut Seksyen 32 Pelucut Hakan Harta 1988.

Empat unit kedai yang musnah dalam kebakaran di kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang

Empat unit rumah kedai musnah terbakar

RANTAU PANJANG 11 Okt. – Empat unit rumah kedai yang terdiri daripada tiga buah bengkel membaiki kereta dan motosikal serta sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran di Kampung Gual Tinggi dekat sini, petang semalam.

Kebakaran kira-kira pukul 6.30 petang itu turut memusnahkan enam kereta dan empat motosikal yang sedang dibaiki serta melibatkan kerugian keseluruhan bernilai RM150,000.

Pemangku Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Anuar Ali berkata, ketika kejadian, bengkel berkenaan tidak berpenghuni tetapi kedai runcit terbabit didiami oleh pemiliknya.

Beliau berkata, kejadian dipercayai bermula daripada bengkel kereta terbabit dan disedari oleh beberapa penduduk kampung selepas melihat asap tebal serta api yang sedang marak.

“Kita menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira pukul 6.38 pagi dan keluar dengan dua jentera dengan kekuatan 11 anggota untuk memadam kebakaran itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, anggotanya mendapati api sedang marak dan mengambil masa selama setengah jam untuk mengawal kebakaran itu daripada merebak ke bangunan berdekatan.

Katanya, dengan tindakan pantas anggotanya berjaya menyelamatkan beberapa bangunan berdekatan yang dianggarkan bernilai RM600,000.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian itu dan kerugian dianggarkan bernilai RM150,000.

“Pemilik kedai runcit yang tinggal di premis perniagaannya sempat menyelamatkan diri dan hanya tinggal sehelai pinggang,” katanya.

Tingkatkan kawalan di sempadan

RANTAU PANJANG 23 Okt. – Kekangan undang-undang perairan antarabangsa di Sungai Golok yang menjadi sempadan di antara Thailand dan negara ini merupakan antara penyebab utama mudah bolosnya kegiatan penyeludupan.

Persoalan tafsiran sempadan menyebabkan pihak berkuasa negara ini agak bermasalah untuk merampas barang seludup yang berada di permukaan Sungai Golok kerana dikhuatiri menceroboh had sempadan antarabangsa.

Di kawasan sungai yang sempit, sempadan boleh direntasi tidak sampai lima minit dan pihak berkuasa hanya boleh menatap sahaja bot atau perahu yang menyeberang dan singgah di pangkalan negara jiran.

Ukuran sempadan antarabangsa di antara Thailand dengan Malaysia berdasarkan kepada kedalaman sungai itu, iaitu tempat yang paling dalam menjadi ukuran sempadan.

Proses penandaan dan pengukuran sempadan sungai bagi Sungai Golok sejauh 95 kilometer antara Malaysia dan Thailand dimulakan pada 1 November 2000 dan dijangka siap pada tahun hadapan.

Asas penentuan sempadan di antara kedua-dua negara ini berdasarkan perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan British dan Siam bertarikh 10 Mac 1909.

Seterusnya persetujuan untuk penandaan dan pengukuran antara kedua-dua negara telah dibuat melalui Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani antara Malaysia dan Thailand pada 8 September 1972.

Dua pendekatan asas yang diguna pakai dalam penentuan sempadan antarabangsa iaitu, bagi sempadan darat adalah mengikut legeh iaitu rabung yang memisahkan dua sistem saliran manakala bagi sempadan sungai mengikut ‘thalweg’ ataupun bahagian terdalam alur sungai.

Thailand telah bertindak menambak kebanyakan tebing Sungai Golok dengan tembok kukuh sebagai usaha mengatasi masalah banjir besar yang sering melanda negara itu, berbanding Malaysia yang tidak memilih untuk berbuat demikian.

Secara tidak langsung masalah jangka masa panjang membabitkan isu sempadan akan timbul apabila berlakunya banjir besar, iaitu hakisan teruk akan berlaku di bahagian tebing sungai sebelah Malaysia.

Ia pastinya turut menjejaskan faktor kedalaman sungai itu sendiri dan sekali gus mengubah sempadan.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Abdul Rahim Jaafar turut mengakui faktor itu merupakan antara salah satu masalah yang dihadapi oleh pihaknya bagi menangani masalah penyeludupan di sepanjang sungai itu.

Katanya, barang seludup mudah dibawa masuk ke negara jiran melalui rumah atau premis yang dibina terlalu hampir dengan tebing Sungai Golok dan ia berkait rapat dengan peruntukan rizab tanah sungai.

“Penyeludup kebiasaannya akan menggunakan palung yang akan diisi dengan barang seperti gula atau minyak masak terus ke dalam perahu yang sedia menanti di dalam sungai.

“Masalahnya di sini ialah PGA tidak mempunyai bidang kuasa untuk merampas barang yang telah berada dalam sungai kerana ia berkait rapat dengan undang-undang perairan antarabangsa, walaupun lebar sungai itu hanya beberapa meter sahaja memisahkan di antara kedua-dua negara,” katanya.

Tambah Abdul Rahim, koordinasi antara agensi kawalan sempadan yang lain juga agak longgar seperti tiadanya pemantauan ketat terhadap kenderaan asing yang masuk ke negara ini untuk membeli petrol atau diesel.

Katanya, selepas melepasi sempadan pula tidak terdapat penguatkuasaan khusus di stesen minyak terhadap kenderaan asing tersebut daripada membeli bahan api pada kadar harga subsidi sama yang dinikmati oleh penduduk negara ini.

“Dasar pada masa ini kenderaan asing hanya dibenarkan untuk membeli petrol atau diesel setakat 20 liter sahaja bagi sekali isi di stesen minyak. Mereka boleh keluar masuk untuk membelinya berulang kali.

“Taktik mereka sudah pasti tidak akan mengambil risiko membelinya melebihi daripada kadar yang ditetapkan tetapi mereka agak licik apabila akan beralih ke stesen lain untuk mendapat bekalan pada kadar liter yang sama.

“Risikan mendapati jika kawasan sempadan mempunyai 10 buah stesen minyak maka mereka akan mengulangi perkara sama yang bermakna mereka mampu mengisi tangki sehingga 100 liter dalam satu perjalanan sebelum kembali ke negara mereka bagi mengosongkan tangki kenderaan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat Ops Wawasan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang melakukan lawatan kerja ke sempadan negara di Markas Taktikal PGA di sini baru-baru ini.

PGA bertanggungjawab mengawal sempadan Malaysia – Thailand, sepanjang 29.9 kilometer dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Rantau Panjang, Pasir Mas melalui Ops Wawasan.

Ops ini dimulakan pada 7 Ogos 1987 dengan nama asalnya Ops Tebas yang kemudian ditukar kepada Ops Wawasan pada 14 September 1994. Operasi kawalan akan ditukar sebulan sekali antara tiga buah batalion PGA iaitu Batalion ke-7, 8 dan 9.

PGA menempatkan sebanyak 16 pos kawalan di kawasan strategik, sekat pintas di tujuh lokasi berasingan bagi mengawal kemasukan tentera semut daripada pangkalan haram yang tidak menjangkaui pos kawalan seperti kawasan hutan dan juga kampung kecil yang agak terpencil.

Sepanjang sempadan itu terdapat lebih 130 buah pangkalan haram yang mempunyai namanya yang unik kebiasaannya mengikut nama pengasasnya ataupun rumah penduduk yang berada paling hampir dengannya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, PGA juga menghadapi masalah dengan kewujudan stor penyimpanan beras dan barang keperluan lain seperti gula, gandum yang berlesen.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka ini mempunyai stok simpanan yang agak mencurigakan kerana melebihi nisbah keperluan penduduk tempatan di sempadan dan apabila ditanya akan mengatakan bahawa bekalan itu diperoleh daripada Pasir Puteh ataupun Besut, Terengganu.

“Keadaan ini agak tidak logik bagi sebuah stor di Rantau Panjang atau Pengkalan Kubor yang terpaksa membeli bekalan yang banyak daripada sebuah jajahan yang terletak amat jauh dari kedua-dua kawasan ini,” katanya.

Kata Abdul Rahim, PGA tidak boleh melakukan sebarang pemeriksaan terhadap stor berkenaan yang beroperasi secara sah kerana bakal berhadapan dengan risiko wujudnya pertikaian undang-undang.

“Caranya, PGA hanya setakat mampu menahan bilis yang membawa beras seludup dalam kapasiti kecil sama ada melalui raga motosikal atau but kereta sahaja, walaupun hasil risikan pihak kita mengetahui bahawa mereka dalam perjalanan menuju destinasi terpilih,” katanya.

Tiga lelaki bawa barangan seludup ditahan

KOTA BHARU 25 Okt. – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan tiga lelaki disyaki penyeludup bersama kenderaan masing-masing yang sarat muatan dengan pelbagai jenis barangan ketika melalui Kompleks Imigresen Kastam, Rantau Panjang dekat sini pagi ini.

Tiga suspek berusia antara 40an ditahan kira-kira pukul 7.30 pagi, selepas mengesyaki tiga kenderaan terbabit iaitu sebuah lori dan dua van membawa muatan barangan seludup.

Pegawai Pemerintah Batalion 9, PGA, Supritendan Kamaruddin Yusof berkata, pada mulanya pemandu terbabit cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan menutup barangan seludup itu dengan sayur-sayuran dan buah-buahan supaya kenderaan mereka tidak diperiksa.

Bagaimanapun, katanya, hasil pemeriksaan pihaknya telah menemui beberapa guni beras dan pulut serta pelbagai jenis makanan yang dilarang bawa masuk oleh Jabatan Kesihatan.

“Kami menahan ketiga-tiga lelaki terbabit bersama kenderaan masing-masing dan barang rampasan sebelum diserahkan kepada Kastam Bahagian Pencegahan Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.

“Siasatan juga mendapati barangan yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran sekitar Kelantan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Kamaruddin menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kenderaan keluar masuk ke negara ini terutamanya kenderaan perdagangan sebagai langkah berwaspada bagi mengelak berlakunya aktiviti penyeludupan.

Katanya, kebanyakan kenderaan perdagangan menganggap pihak berkuasa tidak akan menjalankan pemeriksaan rapi kerana faktor barangan mereka yang terlalu banyak dan sukar untuk diperiksa.

“Kami tetap menjalankan pemeriksaan rapi terhadap kenderaan yang masuk ke negara ini kerana sedar pelbagai taktik digunakan mereka untuk membawa masuk barangan seludup supaya pihak berkuasa tidak dapat mengesan kegiatan mereka,” ujarnya.

Lelaki Malaysia ditembak mati di Golok

RANTAU PANJANG 26 Okt. – Seorang rakyat Malaysia mati dipercayai ditembak oleh beberapa lelaki ketika sedang membaiki motosikalnya di sebuah bengkel di pekan Sungai Golok, selatan Thailand hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa Mohd. Zuki Mohd. Nawi, 37, berasal dari Tanah Merah, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terkena tiga das tembakan di kepala dan badan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II Amir Hamzah Ibrahim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang membaiki motosikalnya di sebuah bengkel di pekan tersebut sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.

Beliau berkata, siasatan awal pihak polis mendapati satu das tembakan dipercayai terkena pada bahagian kepala manakala dua das lagi pada badan mangsa.

“Kita masih menunggu laporan siasatan daripada polis negara itu berhubung kejadian ini dan berdasarkan maklumat mangsa dipercayai menjalankan perniagaan di bandar tersebut.

“Ketika kejadian beberapa lelaki yang menaiki sebuah motosikal dan kereta dikatakan telah melepaskan beberapa das tembakan secara rambang terhadap mangsa sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari rumah isterinya di Kampung Gok Ayam, Sungai Golok untuk pulang ke Rantau Panjang melalui pangkalan haram.

Amir Hamzah berkata, mayat mangsa telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Bendang Gok, Tanah Merah untuk urusan pengkebumian selepas bedah siasat dilakukan di Hospital Sungai Golok.

“Jenazah mangsa dibawa ke Rantau Panjang kira-kira pukul 7.30 petang sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

“Motif sebenar pembunuhan ini belum diketahui kerana siasatan masih di peringkat awal,” katanya.

PGA Kelantan rampas 61 lembu seludup

RANTAU PANJANG: Sebanyak 61 ekor lembu yang diseludup dari negara jiran dirampas oleh Batalion Kesembilan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah kandang di Kampung Tasik Berangan di sini hari ini.

Pegawai Pemerintahnya, Supt Kamaruddin Yussof berkata rampasan dibuat jam 5 petang tadi oleh sepasukan anggota selepas menerima maklumat dari orang ramai berhubung kegiatan penyeludupan lembu di kawasan itu.

“Selepas melakukan intipan dan pemerhatian di kawasan itu, kami mendapati lembu yang dikandangkan itu tidak mempunyai dokumen yang sah dipercayai diseludup dari negara jiran,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

kata admin:

Lembu di seludup untuk hari raya korban

Campak Tenggiling terjun sungai

RANTAU PANJANG: Sekumpulan lelaki yang sedang memunggah guni berisi tenggiling di tebing Sungai Golok bertempiaran lari termasuk berenang ke negara jiran ketika diserbu sepasukan anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), petang kelmarin. Mereka dikejutkan lima anggota UPP Rantau Panjang diketuai Cif Inspektor Zubaidi Md Ariffin selepas mendapat maklumat kegiatan berkenaan sebelum membuat intipan ke kawasan Pangkalan Haram Haji Dollah dekat Lubok Gong, di sini, kira-kira jam 4.30 petang. Komander UPP Negeri, Mazlan Che Hamid, berkata ketika intipan dilakukan anggota UPP terbabit ternampak beberapa lelaki memunggah guni berwarna biru daripada sebuah lori ke pangkalan haram di tebing sungai Golok. Beliau berkata, selepas mendapati kumpulan lelaki dipercayai penyeludup haiwan eksotik itu sedang asyik

memunggah, anggota UPP kemudian membuat serbuan.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan lelaki terbabit melarikan diri ke arah sungai termasuk terjun ke sungai dan berenang ke arah negara jiran. Katanya, selepas pemeriksaan dilakukan, UPP menemui beberapa guni berwarna biru ditinggalkan di tebing Sungai Golok. “Pemeriksaan rapi ke atas guni itu menemui 61 tenggiling masih hidup. “Pihak UPP percaya kesemua tenggiling diambil dari beberapa tempat di negara ini untuk dibawa ke negara jiran. “Semua tenggiling bernilai kira-kira RM9,150 itu kemudiannya diserahkan kepada Kastam Bahagian Pencegahan Rantau Panjang sebelum dirujuk pula kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya

kata admin

Rantau Panjang memang terkanal dengan kawasan penyeludupan

1 Comment »

  1. 1

    silalah menjenguk selalu


RSS Feed for this entry

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: