Politik

Bekas calon bebas Parlimen Rantau Panjang buat laporan polis nafi ditaja

RANTAU PANJANG: Calon bebas bagi Parlimen Rantau Panjang pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu Isma Airfath Hasanuddin membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan bahawa beliau ditaja oleh beberapa individu dalam Umno untuk bertanding kerusi parlimen berkenaan.

Isma Airfath, 38, yang lebih dikenali sebagai ‘Kosing’ dan menggunakan logo ‘kepala harimau’ semasa pilihan raya umum itu, membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Pasir Mas pukul 5 petang semalam dengan mendakwa tanda tangannya telah dipalsukan dalam sepucuk surat pengakuan yang dikemukakan kepada Lembaga Disiplin Umno.

Kerusi Parlimen Rantau Panjang dimenangi oleh calon PAS Siti Zailah Mohd Yusof selepas menewaskan calon Barisan Nasional Mohd Afandi Yusof dan calon Bebas, Isma Airfath pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

“Saya tidak pernah menulis surat pengakuan sebagaimana yang dikemukakan kepada Lembaga Disiplin Umno mengatakan saya ditaja untuk bertanding dengan bayaran tertentu.

“Saya menafikan apa yang terkandung dalam surat pengakuan itu malahan tanda tangan saya juga dipalsukan,” kata Isma Airfath kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau juga mendakwa tidak pernah berjumpa dengan empat anggota Umno Rantau Panjang yang digantung satu penggal pemilihan oleh lembaga disiplin parti itu baru-baru ini.

“Untuk bertanding pada pilihan raya umum lalu saya mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan tiada kena-mengena dengan mereka yang berkenaan,” katanya.

Beliau percaya surat pengakuan yang menggunakan namanya itu didalangi pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menjatuhkan maruahnya dan ekoran surat pengakuan itu juga, empat anggota Umno yang teraniaya telah digantung keanggotaan mereka.

Lembaga Disiplin Umno yang dipengerusikan oleh Tengku Tan Sri Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail memutuskan Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail, Bendahari Umno bahagian, Ghazali Ismail; Anggota Jawatankuasa Umno bahagian (dilantik), Fauzi Omar dan Ketua Wanita Umno bahagian, Pauziah Che Wook digantung keahlian selama tiga tahun daripada 22 September lalu atau satu penggal pemilihan.

Hukuman berkenaan berdasarkan Perkara 5 Tataetika Ahli dalam Perlembagaan Umno kerana didapati melakukan kesalahan rasuah politik. BERNAMA

kata admin:

selepas sehari pilihanraya, kecoh di  kampung-kampung kawasan sekitar Rantau Panjang yang bercakap tentang calon bebas telah di taja.. apa-apa pun siasatan yang rapi perlulah di buat, barulah kontroversi tidak wujud..amalan demokrasi perlulah di amalkan dengan sebaiknya

Unit anti rusuhan sedang mengawal  kekecohan

Persidangan Pemuda Umno Rantau Panjang kecoh, unit antirusuhan dipanggil

RANTAU PANJANG: Persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang hari ini kecoh apabila sekumpulan individu bertindak agresif dengan menjerit dan melaungkan rasa tidak puas hati bagi membantah jumlah perwakilan yang didakwa tidak sah.

Suasana kecoh itu bermula pada 9.30 pagi apabila mesyuarat berkenaan bermula di Sekolah Kebangsaan Seri Kiambang di sini dan berikutan keadaan itu berlarutan selama sejam, Polis Daerah Pasir Mas terpaksa menggunakan Unit Tindakan Ringan Antirusuhan untuk mententeramkan keadaan.

BEBERAPA individu yang bertindak agresif dengan menjerit dan membantah jumlah perwakilan yang didakwa tidak sah ditenangkan oleh individu yang lain ketika mesyuarat Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang di Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang, Rantau Panjang hari ini. – fotoBERNAMA

Suasana tegang itu berlaku apabila Pengerusi Tetap mesyuarat berkenaan Nordin Ibrahim mengumumkan seramai 461 perwakilan daripada 144 cawangan layak mengundi.

Sejurus selepas pengumuman itu, seorang wakil dari kumpulan membantah itu, yang juga merupakan Ketua Cawangan Umno Taman Seri, mendakwa jumlah perwakilan berkenaan tidak sah kerana kemungkinan wujudnya anggota hantu.

Beliau yang dikenali sebagai Suhaimi Che Hussin juga mendakwa jumlah berkenaan mungkin tidak betul memandangkan masih ada bantahan terhadap mesyuarat cawangan yang belum selesai seperti Cawangan Tepi Sungai.

Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang, Affendi Yusof cuba mententeramkan keadaan dengan menjelaskan perkara berkenaan tidak seharusnya timbul kerana jumlah perwakilan itu telah disahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan dan Pemantau Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Affendi berkata, kekecohan berkenaan sudah dijangka memandangkan beliau sendiri sudah maklum dengan perancangan dan strategi yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk mengganggu mesyuarat.

“Saya sudah jangka perkara ini akan berlaku terutamanya setelah empat anggota Umno Rantau Panjang digantung keahliannya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini walaupun penyokong beliau cuba diprovokasi oleh pihak yang tidak berpuas hati.

Ketua Umno Bahagian, Abdullah Mat Yasin ketika ditemui menyifatkan kekecohan berkenaan hanya kerana salah faham memandangkan ada anggota yang tidak tahu cawangan mereka bertukar perwakilan.

“Ada sesetengah cawangan terpaksa diadakan mesyuarat sebanyak dua kali dengan mesyuarat kali kedua dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemantau,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abdullah berkata, jumlah 461 perwakilan berkenaan adalah betul dan telah disahkan oleh Badan Perhubungan Umno Negeri.

“Masalah ini kita percaya wujud kerana penyokong bekas Ketua Bahagian dulu yang tidak berpuashati dengan tindakan Lembaga Disiplin Umno yang mengantung keahlian beliau,” katanya.

Mesyuarat berkenaan kemudiannya disambung selepas solat Jumaat ini. BERNAMA

kata admin:

Kalau dah ramai sangat, ramailah yang tidak berpuas hati..apa-apapun itu semua adalah amalan demokrasi rakyat Malaysia

 

Rantau Panjang pilih Khairy, Reezal

RANTAU PANJANG 17 Okt. – Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Rantau Panjang sebulat suara mencalonkan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda pada pemilihan parti Mac depan.

Ketuanya, Mohd. Afandi Yusoff berkata, perwakilan juga memilih Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Reezal Merican Naina Merican untuk bertanding jawatan Naib Ketua.

Menurutnya, keputusan perwakilan memilih Khairy berdasarkan kepada kredibiliti dan ketokohan beliau yang telah terbukti sepanjang menjadi Naib Ketua Pemuda.

“Kewibawaan kepimpinannya terserlah malah beliau telah menunjukkan prestasi cemerlang terutamanya semasa menjadi pengarah jentera Pemuda setiap kali pilihan raya kecil diadakan sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mesyuarat yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang di sini, dihadiri oleh 461 perwakilan daripada 144 cawangan Bahagian Rantau Panjang.

 

50 warga miskin Parlimen Rantau Panjang terima zakat

Ahli Parlimen Rantau Panjang sedang Mengagihkan  zakat kepada penduduk

Seramai 50 orang lebih warga miskin Parlimen Rantau Panjang telah menerima zakat pada 8 september 2008, bagi membantu menghadapi kesusahan akibat kenaikan harga barangan.

Zakat berkenaan telah diserahkan sendiri oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Hjh Zailah. Penerima-penerima zakat merupakan penduduk sekitar Kg Lubok Gong dan Kg Kedai Lama. Dalam majlis tersebut setiap penerima menerima 10kg kampit beras, kurma dan kain tudung.

Selain daripada penerima zakat turut menerima sumbangan peribadi ahli parlimen Rantau panjang adalah 12 orang penduduk sekitar. Dalam majlis tersebut YB Hjh Zailah mengambil kesempatan mengingatkan masyarakat supaya mengambil kesempatan di bulan Ramadhan ini untuk memperbanyakkan amalan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: